Sumber: Harian Metro Edisi Internet
TUMBANGNYA satu demi satu atlit Malaysia di Beijing, menghadirkan rasa bimbang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob (gambar) yang bagaimanapun sedia menerima hakikat kegagalan kempen Olimpik kali ini, jika kontinjen negara terpaksa pulang tangan kosong.
Beliau yang mengakui pintu mendapatkan pingat masih belum tertutup sepenuhnya kerana masih ada wakil negara dalam acara badminton manakala berbasikal hanya akan bermula esok, bagaimanapun sudah bersedia untuk menerima hakikat kegagalan buat kali ketiga berturut-turut, seperti mana di Sydney 2000 dan Athens, empat tahun lalu.
“Hendak cakap apa?,” tanyanya kepada wartawan sebelum memulakan sidang media selepas makan tengah hari di Restoran Awana, Beijing, semalam. “Semua sudah kalah.”
Bagaimanapun, Ismail Sabri pantas memberitahu kegagalan itu harus diterima dengan hati terbuka tanpa perlu terlalu mempertahankannya.
“Kalau tak berjaya, kita kena terima kegagalan itu. Hakikatnya, kita gagal,” katanya. “Tak boleh kata kita gagal dengan bergaya kerana gagal tetap gagal,” katanya.
Sambil menggesa supaya tidak ‘menghalalkan’ kegagalan itu dengan pencapaian peribadi terbaik dan rekod kebangsaan, beliau berkata, setiap kegagalan itu seharusnya dipandang dari sudut positif.
Malaysia menaruh harapan terhadap badminton, berbasikal dan memanah untuk membawa pulang pingat kali ini. Tapi, impian daripada skuad memanah recurve lelaki sudah berkubur apabila mereka tersingkir di suku akhir.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau kena berlaku adil terhadap atlit seperti renang, terjun dan angkat berat yang sememangnya datang untuk menang, tapi tidak mempunyai sebarang harapan menyerlah di temasya berprestij ini, terutama apabila mereka layak hanya ‘cukup makan’, selain ada yang beraksi di bawah Kategori B.
“Tapi, kita mesti lakukan sesuatu dari sekarang. Kita hanya ada empat tahun lagi. Saya sendiri sudah tidak larat menjawab tunggu next Olimpik...tunggu next Olimpik setiap kali orang tanya bila kita nak menang pingat,” katanya sambil memberitahu wang rakyat yang dibelanjakan harus dikembalikan dengan membawa pulang pingat.
Justeru, sebagai langkah awal, beliau yang dilantik Menteri Belia dan Sukan, April lalu, mencadangkan beberapa perkara, termasuk mengadakan Mini Olimpik Malaysia bagi sukan yang acaranya hanya dipertandingkan di Olimpik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment